Monday 18 July 2011

PEMIMPIN BERSAMA RAKYAT PARLIMEN PASIR PUTEH 16 JULAI 2011

Rakyat inginkan pembaharuan

PASIR PUTEH – Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bukanlah semata-mata demonstrasi jalanan yang sengaja dilakukan rakyat, tetapi demi menuntut hak keadilan yang dirasakan perlu diubah terutama dari segi ketelusan serta keadilan pilihan raya di negara ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ia telah berlaku sejak 1950-an lagi di mana rakyat sering dipaksa dan diugut dalam membuat pilihan.

“Biarlah mereka pilih apa yang mereka suka dan bukannya dengan ugutan atau paksaan.

“Perkara ini sudah berlanjutan berpuluh-puluh tahun, dan tibalah masanya negara kita mengubah,’’ katanya semasa merasmikan pelancaran jentera pilihan raya Pas Kawasan Pasir Puteh di Sekolah Menengah Islam Madinatul Ilmi, Kampung Wakaf di sini, semalam.


Rakyat suarakan apa yang diingini

Sementara itu, pada malamnya di Padang Majlis Daerah Pasir Puteh, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution berkata, sudah tiba masanya rakyat menyuarakan apa yang mereka inginkan.

“Ini baru rakyat hendak berhimpun, Kerajaan Pusat sudah gelabah, adakah ini menunjukkan Barisan Nasional (BN) sudah tidak kuat lagi.

“Apa yang ingin dilakukan semasa perhimpunan haram Bersih baru-baru ini satu perhimpunan rakyat untuk menyerahkan memorandum bukannya untuk membuat huru-hara sebagaimana diuar-uarkan media,’’ katanya.

Menurutnya, sekiranya semua rakyat berganding bahu dan kemenangan Pakatan Rakyat dapat dikekalkan di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor tidak mustahil Putrajaya akan bertukar hak milik.

“Sekarang ini jika dilihat kepada sambutan ceramah di Negeri Sembilan, Melaka ramai yang hadir, tidak seperti sebelumnya.

“Ini menunjukkan kepada BN bahawasanya rakyat sudah jemu dengan mereka,’’ katanya.



Jatuhkan kerajaan melalui pilihan raya
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Nasarudin Daud berkata, rakyat hendak jatuhkan kerajaan bukan melalui demonstrasi, tetapi pilihan raya.

Beliau berkata, sebab itulah demonstrasi diadakan bagi menuntut pilihan raya di negara ini dibubarkan dan menjadi lebih telus dan adil.

“Kami juga mahu pilihan raya akan datang diadakan di antara perlawanan parti antara parti bukannya melibatkan kerajaan.

“Sebab kerajaan tidak dengarlah maka, kami berarak itupun dengan secara baik walaupun ada pihak yang menghebohkan apa yang kami lakukan ini membawa kepada kerosakan, kerugian dan huru-hara,’’ katanya.

Program pemimpin bersama rakyat yang diadakan Pas Kawasan Pasir Puteh dihadiri lebih 5,000 orang pada malam ceramah diadakan.

No comments:

Post a Comment