Tuesday 11 October 2011

TAHUKAH KITA APAKAH ITU HUDUD?





Hudud adalah sebahagian daripada undang-undang syariah di bawah bab Kanun Jenayah Syariah. Adapun undang-undang syariah itu terdapat di dalamnya banyak bentuk undang-undang, antaranya ialah jenayah, munakahat, iktisoddi, perlembagaan Islam ataupun Kanun Dusturi Islami dan bermacam-macam lagi undang-undang Islam yang lain.

Di bawah undang-undang jinayah ( atau lebih dikenali sebagai Kanun Jenayah Syariah) ini terbahagi pula kepada 4 jenis : iaitu hudud, qisos, diat dan takzir.

Makna HUDUD:

HUDUD bermakna batasan yang dibuat oleh ALLAH SWT dan ia tidak boleh dilanggar oleh sesiapa pun. Contohnya, kalau seseorang itu mengaku berzina, maka dia wajib dihukum sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT, iaitu wajib sebat dia 100 kali (bagi yang belum kahwin). Kalau dia mengaku mencuri pula, maka tak boleh penjarakan dia dan tak boleh dendakan dia, tapi wajib dipotong tangannya kerana ia adalah satu batasan yang telah dibuat oleh ALLAH SWT.

Hukuman HUDUD:

Hukuman Hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan ALLAH di dalam quran/hadith.Hukuman Hudud ini adalah hak ALLAH ,yang tidak boleh ditukar ganti hukumannya dan tidak boleh di ubah-suai dan dipinda. Hukuman Hudud tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun.Mereka yang melanggar aturan-aturan hukum ALLAH, yang telah ditentukan dan ditetapkan ALLAH/rasulNya yang disebutkan di dalam Quran/hadith adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim. Sepertimana firman ALLAH SWT yang bermaksud:

"Dan sesiapa yg melanggar aturan hukum ALLAH, maka mereka itulah orang yg zalim" (Al Baqarah:229)

KESALAHAN YANG DIKENAKAN HUKUMAN HUDUD:

1. Berzina, iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara`.
2. Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya, dan tuduhan itu tidak dapat dibuktikan dengan 4 orang saksi.
3. Minum arak atau minuman yang memabukkan, samada sedikit atau banyak, mabuk atau tidak.
4. Mencuri, iaitu memindahkan secara bersembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya..
5. Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam, samada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan iktikad kepercayaan.
6. Merompak (hirabah); iaitu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.
7. Pendurhakaan (bughat) ;iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau mendurhaka kepada Ulil Amri yang menjalankan syariat Islam dan hukum-hukum ALLAH.

QISAS:

Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas.Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa), melukakan dibalas dengan melukakan, mencederakan dibalas dengan mencederakan.

PERBANDINGAN QISAS DAN HUDUD:

Persamaan diantara qisas dengan hudud ni ialah hukumannya telah ditetapkan ; seperti kadar dan bentuknya, yang telah ditentukan oleh ALLAH SWT di dalam al-Quran. Manakala perbezaan diantara qisas dengan hudud pula ialah hukuman qisas ini hendaklah dituntut oleh mangsa ataupun keluarga mangsa Tapi kalau tidak dituntut oleh mangsa atau keluarga mangsa ,maka tidak boleh dikenakan hukuman qisas. Jadi, berbezalah diantara qisas dengan hudud ,dimana hudud ini, walaupun tidak dituntut oleh mangsa atau keluarga mangsa tetapi ianya tetap wajib dilaksanakan.

KESALAHAN & HUKUMAN QISAS:

Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman qisas ialah :

a) Membunuh orang lain dengan sengaja.
Hukuman membunuh orang lain dengan sengaja wajib dikenakan hukuman qisas
ke atas si pembunuh dengan dibalas bunuh.Sepertimana firman ALLAH SWT yang
bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman ,diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas
(balasan yang seimbang)dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh"(Al Baqarah : 178)

b) Menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain dgn sengaja.
Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain atau melukakannya, wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu, juga mengikut jenis anggota yang dicederakan dan yang dilukakan tadi.Sepertimana firman ALLAH SWT yang membawa maksud: "Dan telah Kami wajibkan ke atas mereka (orang-orang Yahudi) yang disebutkan dalam Kitab Taurat, bahwasanya nyawa dibalas dengan nyawa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan kecederaan juga hendaklah dibalas seimbang. Tapi bila sesiapa mengampuninya,maka itu adalah penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh ALLAH,maka mereka itulah orang-orang yang zalim" (Suratul Ma`idah : 45)

DIYAT :

Hukuman Diyat bermakna pampasan atau pun ganti rugi. Diyat ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh penjenayah kepada wali/waris mangsanya sebagai ganti rugi disebabkan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah keatas mangsanya.

Hukuman diyat adalah hukuman kesalahan-kesalahan yang sehubungan dengan kesalahan  qisas. Hukuman diyat ialah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan ALLAH dan rasulNya di dalam al-Quran/hadith sebagai ganti rugi diatas kesalahan-kesalahan yang melibatkan kecederaan anggota badan, atau melukakannya.

Kesalahan yang dikenakan hukuman diyat:

i) Pembunuhan yang serupa dengan sengaja: Serupa dengan sengaja bermakna perbuatan tadi sengaja walaupun tidak ada niat untuk membunuh atau mencederakan.
ii) Pembunuhan yang tersalah (tidak sengaja) - yakni yang memang tidak sengaja.
iii) Pembunuhan yang sengaja yang dimaafkan oleh wali atau ahli waris orang yang dibunuh; sepertimana firman ALLAH TA`ALA dalam Suratul Baqarah ayat 178 yang bermaksud,:

"Sesiapa yang dapat memperolehi sebahagian keampunan daripada saudaranya (waris kepada mangsa yang dibunuh), maka hendaklah diikuti dengan cara yang baik (iaitu menuntut ganti rugi dengan tidak melampaui batas).Dan tunaikanlah bayaran diyat itu dengan ihsan. Yang demikian itu adalah suatu keringanan/kemudahan yang diberikan oleh ALLAH SWT. Serta satu rahmat daripada Tuhan kamu ( makna rahmat adalah kasihan belas daripada ALLAH SWT kepada sekelian hambaNya). Sesiapa yang melampaui batas selepas daripada itu, maka baginya azab yang pedih."

Hukuman TAKZIR:

Hukuman takzir ialah kesalahan-kesalahan yang hukumannya merupakan dera, iaitu penjenayah-penjenayah tadi tidak dijatuhkan hukuman hudud atau qisas.

Hukuman takzir dalam Kanun Jenayah Syariah adalah hukuman yang tidak ditentukan dan ditetapkan ALLAH kadar atau bentuk hukuman itu di dalam Quran/hadith. Ia terserah kepada kebijaksanaan Ulil Amri. Tetapi para ulama berpendapat bahwa takzir tidak boleh menyamai sekurang-kurang hudud.

No comments:

Post a Comment